Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, mengakui aksi penentuan sepakan penalti dalam final Piala Malaysia 2016 menentang Selangor mengingatkannya ketika final Sukan Sea 2011 di Jakarta, Indonesia.

Ketika itu, Baddrol yang turut bertindak sebagai ketua pasukan, muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti kemenangan skuad negara untuk meraih emas.

"Selalunya saya akan tekankan kepada pasukan perkara-perkara positif. Ketika mengambil sepakan penalti, saya terbayang ketika final Sukan Sea di Jakarta (menentang Indonesia) kerana saya mengharapkan keajaiban sekali lagi. Ia terjadi, saya sangat bersyukur," katanya.

Ia merupakan gelaran ketiga Piala Malaysia buat Baddrol setelah empat kali beraksi di pentas final, namun kejayaan kali ini lebih manis susulan menjulang Kedah sebagai kapten.

"Saya sangat terharu dan gembira kerana tahun ini adalah tahun yang turut dianggap rezeki anak saya. Saya berterima kasih kepada pemain dan juga penyokong."

Skuad Lang Merah meraih gelaran juara buat kali kelima apabila menewaskan penyandang juara, Selangor, 6-5 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Rekod kejuaraan Kedah

Tahun Lawan Keputusan

2016 Selangor 1-1 (penalti 6-5)

2008 Selangor 3-2

2007 Perak 3-0

1993 Singapura 2-0

1990 Singapura 3-1