Kedah menamatkan penantian lapan tahun menjulang Piala Malaysia apabila menundukkan juara bertahan Selangor 6-5 dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 dalam aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar, mahu berkongsi kejayaan itu bersama rakyat Kedah selepas menamatkan penantian sejak 2008.

"Saya dan pemain Kedah mengucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana dapat menjulang Piala Malaysia pada tahun ini dan kami akan membawa pulang trofi ini ke Darul Aman," katanya.

Pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon, menganggap misi mereka pada tahun ini dianggap selesai dengan kejayaan itu.

"Syukur Alhamdulilah, satu kemenangan yang amat bermakna buat penyokong.

"Apa-apa pun, misi kami tahun ini sudah selesai, jadi kami perlu fokus untuk menghadapi musim depan."

Pemain terbaik final, Rizal Ghazali, yang bertanggungjawab meledak gol pembukaan sebelum mengesahkan kejuaraan selaku pengambil sepakan penalti terakhir, mengakui dirinya agak gemuruh ketika dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan tersebut.

"Anugerah Pemain Terbaik Final ini adalah untuk seluruh pasukan.

"Penalti kemenangan itu saya akui berasa gemuruh dan takut kerana saya merupakan penentu tetapi Alhamdulilah rezeki kami untuk menjulang piala," jelasnya.

Sementara itu, kapten Selangor, Andik Vermansyah, memohon maaf kepada seluruh penyokong Selangor di atas kegagalan The Red Giants mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

"Saya mewakili rakan sepasukan memohon maaf sebesar-besarnya kerana tidak berjaya untuk mempertahankan kejuaraan musim ini," ujarnya.