Azmeer terkilan gagal bantu Kedah

Oleh Staff Writer 3 November 2019 4934
Azmeer terkilan gagal bantu Kedah
"Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan saya ketika terpaksa dikeluarkan."

Itu luahan hati pertahanan Kedah, Azmeer Yusof, yang tidak dapat meneruskan aksi final Piala Malaysia semalam gara-gara kecederaan di bahagian lutut biarpun perlawanan baru berlangsung selama 17 minit.

Malang tidak berbau buat Azmeer apabila bek kiri itu tersilap langkah dalam usahanya mengekang asakan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid.

Dia terpaksa diusung keluar oleh pasukan perubatan, namun beberapa minit kemudian meminta untuk dimasukkan walaupun ketika itu ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, sudah mempersiapkan Norfiqrie Abdul Talib untuk dimasukkan.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu tetap tidak berupaya untuk meneruskan permainan yang menyaksikan dia terpaksa meninggalkan padang dengan rasa sebak.

"Saya fikirkan peminat yang datang dari Kedah dan seluruh Malaysia untuk menyokong pasukan. Jadi, saya rasa itu sahaja cara untuk saya balas. Sebab itu saya ambil keputusan untuk beraksi semula tetapi apabila menendang bola, saya mengalami kesakitan," katanya.

Azmeer juga tidak menyembunyikan rasa terkilannya setelah gagal membantu Kedah untuk mengekang asakan bertali arus JDT tatkala skuad Lang Merah itu sudah kehilangan dua tonggak pertahanan, Rizal Ghazali dan Renan Alves, ekoran menjalani penggantungan.

"Saya yakin kalau saya boleh teruskan permainan, mungkin Kedah tidak diserang sebegitu. Apabila saya keluar, saya hanya berdoa agar pengganti saya dapat berikan yang terbaik," tambah Azmeer.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen