Penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid, tidak sabar untuk kembali ke pentas final Piala Malaysia buat kali ketiga, selepas kecewa tidak berada dalam final Piala Malaysia bersama Pahang tahun lalu.

Azhan kini mampu tersenyum apabila kelibatnya kembali berada di dalam 90 minit penentuan juara Piala Malaysia.

Final kali ini memberikan aura yang berlainan memandangkan ia merupakan pentas final pertama Azhan bersama pasukan selain daripada Pahang.

"Gembira kerana ini kali yang ketiga saya beraksi di pentas akhir Piala Malaysia. Jika menang kali ini, ia merupakan kejuaraan ketiga untuk saya," ujar Azhan.

Merujuk kepada kekuatan ketara Kedah di jentera serangan, Azhan jelas menyukai cabaran yang bakal dihadapi Ahad ini.

Bagi Azhan, kejuaraan Piala Malaysia kali ke-34 buat Selangor begitu jelas, hanya tempoh 90 minit menjadi penentu sama ada Piala Malaysia mampu dipertahankan atau gelaran juara baru memihak kepada Kedah.

"Segala persiapan berjalan dengan lancar, semua taktikal coach telah turunkan kepada kami. Perasaan risau dan sebagainya ditolak ke tepi asalkan misi untuk meraih kejuaraan berjaya."