Pemain tengah Kedah, Azamuddin Akil, mahu mengulangi sejarah separuh akhir Piala Malaysia 2014. Jika sebelum ini dia muncul selaku watak penting membawa Pahang ke final, kali ini dia bersedia membantu Kedah mematikan hasrat bekas pasukannya itu di Stadium Darul Aman, malam ini.

Berhadapan pasukan negeri kelahiran yang membentuk karier awalnya dalam bola sepak, Azamudin tetap setia dengan majikan barunya, Kedah.

Mengakui pertemuan dengan Pahang malam ini mengimbau kenangan lima tahun lalu, keadaan bagaimanapun sudah berubah, dengan Azamudin bertekad untuk menjadi watak penting yang membantu Kedah mencetak keputusan baik sebelum membuat kunjungan ke Kuantan, Pahang.

"Saya pernah beraksi untuk Pahang sebelum ini dalam aksi separuh akhir berdepan Kedah. Kali ini, saya mewakili Kedah dan sedia beraksi cemerlang untuk pasukan saya," katanya.

"Saya mengetahui penyokong akan melakukan provokasi terhadap saya tetapi itu bukan masalah bagi menampilkan permainan terbaik malam ini."

Pemain berusia 34 tahun itu masih mencari peluang mengisi kesebelasan utama dan mengharapkan diberi peluang membuktikan kemampuan.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, lega mampu membentuk kesebelasan terbaik selepas barisan utamanya bebas daripada kecederaan dan penggantungan.

"Perkara paling penting adalah kami tidak boleh terlalu memikirkan kemampuan pasukan lawan. Kedah harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada cara permainan yang telah diterapkan," katanya.