Awang import Selangor, Andik Vermansyah, komited dengan misinya untuk membawa Gergasi Merah ke pentas akhir Piala Malaysia musim ini apabila tetap menjalani latihan walaupun baru pulang daripada tugasan antarabangsa.

Andik kembali ke Malaysia selepas beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia dalam aksi persahabatan berdepan Vietnam, 7 Oktober lalu.

Pemain sayap ini mengetepikan faktor keletihan kerana baginya, komitmen terhadap pasukan menjadi keutamaan bagi memastikan halangan T-Team pada aksi separuh akhir kedua diatasi Sabtu ini.

“Ya, saya agak keletihan kerana baru sahaja beraksi bersama Indonesia tetapi Selangor juga merupakan tanggungjawab saya untuk kembali membuat persiapan menjelang aksi bertemu T-Team.

"Kami mahu cuba untuk memenangi perlawanan ini kerana mereka hanya memerlukan satu gol sahaja,” jelas Andik.

Dalam pada itu, Andik mengakui dia dan rakan sepasukan tetap perlu berwaspada berdepan T-Team walaupun mendahului 2-1 selepas separuh akhir pertama.

Andik menjangkakan skuad bimbingan Rahmad Darmawan itu untuk menjelmakan aksi agresif di laman mereka.

“Saya berharap untuk terus mengekalkan kejuaraan kami musim lalu, jadi kami perlu layak ke final untuk bertemu Kedah atau PDRM.”