Kapten Selangor, Andik Vermansyah, menganggap kejayaan melangkah ke final Piala Malaysia perlu dinikmati seketika sebagai ganjaran untuk prestasi cemerlang yang ditonjolkan Selangor di Kuala Terengganu.

Selangor cukup cemerlang menterjemahkan kelebihan di atas kertas, dan Andik yakin semangat pemain-pemain yang mendorong kepada kejayaan memastikan slot ke final Piala Malaysia musim ini.

Sudah pasti keutamaan adalah aksi final bertemu Kedah, namun itu tidak bermaksud kejayaan mengisi slot final ini perlu dipandang sepi.

Bagi Andik, sebagai ganjaran kepada prestasi cemerlang mereka, Selangor boleh menarik nafas lega seketika menjelang aksi final di Stadium Shah Alam, 30 Oktober ini.

“Sudah pasti kami gembira dengan kemenangan ini tetapi kami harus kembali fokus untuk perlawanan akhir bertemu Kedah,” ujarnya.

Tambah Andik, kemenangan selesa Selangor yang sekaligus berjaya mencipta jurang besar menerusi agregat 5-1 adalah sesuatu yang di luar jangkaannya.

“Berkat kerja keras setiap individu dalam pasukan Selangor telah membuahkan hasil, Kemenangan ini memberikan semangat buat kami menghadapi perlawanan final.”