Prestasi skuad Felda United yang tidak konsisten mengundang padah apabila mereka mengalami kekalahan kedua dalam saingan Kumpulan D, Piala Malaysia kepada Melaka dengan keputusan 1-3 di Stadium Tun Abdul Razak, semalam.

Ketua jurulatih, Mohd Nidzam Jamil, berkata kelemahan ketara pasukan kendaliannya itu telah memberikan peluang kepada Melaka untuk mengutip tiga mata berharga di tempat lawan.

"Dalam tempoh masa tertentu permainan dalam separuh masa pertama dan kedua, saya mendapati ada masanya kami bermain dengan baik dan pada masa tertentu ia menjadi tidak baik.

"Gaya lawan mendahului dan kemudiannya kami melakukan kebangkitan menjaringkan gol juga sudah menjadi kebiasaan dalam pasukan kami dan ini tidak bagus, kami perlu mengubahnya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Susulan itu, Nidzam berkata terdapat keperluan untuknya membuat perubahan dalam pasukan bagi mencerahkan peluang The Fighters mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Dia melihat mereka mempunyai peluang sebanyak 50 peratus untuk meneruskan kemaraan selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan.

"Saya beruntung kerana pemain menyedari kelemahan mereka dan mereka juga ingin berubah. Apa yang harus dilakukan ialah memperbaikinya dengan meningkatkan latihan untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Sementara itu, pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, mengakui kejayaan yang diperoleh adalah hasil usaha keras anak buahnya yang beraksi bersungguh-sungguh sepanjang 90 minit perlawanan.

"Ini telah membuktikan mereka mempunyai kesungguhan untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia dan kemenangan ini juga berjaya menggantikan mata kami yang hilang ketika bertemu Selangor sebelum ini.

"Bagi saya, peluang setiap pasukan masih terbuka dan kami perlu terus bekerja keras untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Kami tidak boleh cepat selesa dan mempunyai tempoh seminggu untuk persiapan aksi akan datang," katanya.

-- BERNAMA

Kredit foto: MFL