Aksi yang terlalu berhati-hati pada awal perlawanan dianggap ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, sebagai faktor kekalahan 0-3 kepada Selangor dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi, sekaligus mengecewakan hasrat The Titans mara ke final buat kali pertama.

“Walaupun jarang memberi tekanan tetapi permainan Selangor cukup berkesan, terutama dalam mencipta gerakan untuk menjaringkan gol.

“Sebaliknya, kami yang bermasalah di mana aksi yang terlalu berhati-hati ditunjukkan pada awal perlawanan.

“Kami tidak beraksi dalam keadaan tertekan walaupun pada permulaan melihatkan satu corak yang negatif.

“Pemain-pemain tidak berani menghantar bola ke depan tetapi hanya mengatur serangan dari barisan pertahanan dan itu yang memberi peluang kepada Selangor untuk menghukum kami,” ujar Rahmad.

Deretan peluang yang dimiliki Asrol Ibrahim, Patrick Cruz, Safawi Rasid, Dilshod Sherofetdinov dan Mohd Norhakim Hassan pada babak kedua juga gagal menewaskan Mohd Khairul Azhan yang dijulang sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Semangat kami sedikit terjejas selepas bolos gol pertama dan fokus kami terganggu selepas itu.

“Ketika kami cuba bangkit mendapatkan rentak, gol kedua pihak lawan pula hadir dari situasi sepakan penjuru.

“Itu yang menyukarkan tugas kami walaupun kemudian pemain-pemain perlahan-lahan meningkatkan kerancakan permainan, malah banyak peluang yang berjaya dicipta, namun gagal disempurnakan dengan baik.

“Tiada ketenangan dalam memanfaatkan peluang-peluang terhidang di mana kami terlalu ghairah untuk menjaringkan gol walaupun sepatutnya kami mampu mengawal situasi itu.

“Kemasukan Izzaq (Faris) untuk menajamkan barisan serangan nampak berhasil dan kami mendominasi jentera hadapan tetapi terus dikecewakan dengan tindakan penyudah yang tumpul.

“Aksi cemerlang penjaga gol Selangor juga menghalang hasrat kami mencapai kemenangan malam ini (semalam) dengan menafikan percubaan-percubaan yang dilakukan,” tambahnya lagi.