Selepas gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia, Kedah kini terpaksa mencari kemenangan dalam aksi kedua di tempat lawan bagi membolehkan mereka menempah tiket ke pentas akhir.

Dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi, skuad Lang Merah itu sekadar seri 3-3 dengan Pahang, sekali gus berdepan misi yang agak mencabar di Kuantan nanti.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, berkata walaupun kelebihan dilihat memihak kepada Pahang untuk perlawanan kedua nanti, masih ada harapan untuk Kedah memperoleh keputusan positif di tempat lawan.

"Peluang untuk menang masih terbuka kerana dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku walaupun turun beraksi di tempat lawan. Paling penting, saya nak ingatkan kepada pemain apabila pergi ke sana, kami tak boleh fikir Pahang ada tiga gol.

"Apa yang kami perlu buat adalah laksanakan tugas dengan profesional. Insya-Allah dalam bola sepak apa saja boleh berlaku dalam masa 90 minit permainan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malysia di Alor Setar, malam tadi.

Mengulas mengenai persembahan anak buahnya dalam perlawanan itu, Aidil Sharin memuji kesungguhan dan semangat berpasukan yang ditunjukkan pemain sehingga berjaya mengikat Pahang.

Walaupun kemasukan Zaquan Adha Abd Razak berjaya menjaringkan gol ketiga Kedah pada minit ke-92, kredit diberikan semua pemain yang bertungkus-lumus dalam mengekang asakan lawan.

Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh, berkata kesilapan pertahanan di saat-saat akhir menyebabkan pasukannya gagal mendapat kemenangan di tempat lawan.

"Kami sudah bermain dengan baik, cuma buat kesilapan bagi gol mudah kepada Kedah disebabkan kelonggaran di pertahanan dan itu sering kali dipesan, namun tetap terjadi dalam perlawanan ini," katanya.

Bagaimanapun, Dollah tetap berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya yang dianggap terbaik setakat ini.

"Insya-Allah di Kuantan nanti kami akan bermain lebih baik kerana main di tempat sendiri, cuma kena selalu mengingatkan pemain jangan buat silap hingga boleh memakan diri," katanya.

-- BERNAMA

Kredit foto: FA Kedah