Bagi seorang legenda bola sepak Perak, kejayaan menjulang Piala Malaysia adalah sesuatu yang diidamkan tetapi dia tahu bukan mudah untuk menafikan Terengganu dalam aksi final, malam esok.

Ahmad Shahrul Azhar Sofian, bekas kapten yang cukup sinonim dengan bola sepak Perak.

Di pentas Piala Malaysia, dia pernah mengecapi gemilang dan duka seperti layangan kad merah dalam final 2007.

Atas dasar itu, dia tahu pentas final akan ditentukan dengan detik daripada setiap individu.

"Inilah masanya buat semua pihak, termasuk penyokong, untuk terlibat dengan acara final itu nanti.

"Untuk aksi final, keadaan masih 50-50 buat kedua-dua pasukan.

"Tiada pasukan yang lebih baik malam itu nanti.

"Kalau diikutkan perjalanan sepanjang kempen musim ini, perjalanan Perak lebih baik.

"Pasukan itu satu perkara yang lain, namun daripada aspek individu, sejarah sebagai seorang yang beraksi dalam final dan menjulang Piala Malaysia merupakan satu sentimen yang tidak mungkin dapat dibeli.

"Ini merupakan peluang yang perlu dimanfaatkan pemain-pemain Perak," katanya.

Ahmad Shahrul juga berpandangan kelayakan ke final itu adalah sesuatu yang sudah dirancang sejak tiga tahun lalu.

"Ini merupakan sebuah kerangka yang telah dilakukan sejak tiga tahun lalu lagi.

"Kini terpulang kepada pemain-pemain untuk terlibat dalam sejarah sebagai individu yang menjuarai Piala Malaysia musim ini," tambahnya lagi.