Peluang menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga tidak mahu dilepaskan tonggak Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff, yang berazam mempamerkan persembahan terbaik ketika bertemu Perak di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menurut pemain sayap kelahiran Kuantan itu, dia bersedia diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Sang Penyu walaupun memulakan dua aksi separuh akhir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di bangku simpanan.

Abdul Malik, 27, juga mengimpikan kejuaraan ketiga kejohanan berprestij itu selepas muncul juara bersama Pahang pada 2013 dengan menewaskan Kelantan serta 2014 mengalahkan JDT.

"Sesiapa yang diturunkan perlu memberikan 200 peratus komitmen, namun pastinya saya sendiri berharap diberi peluang beraksi dan membawa pulang trofi ke Kuala Terengganu.

"Pengalaman sudah bergelar juara dua kali membuatkan saya mahu mengulanginya lagi kali ini bersama TFC," katanya.

Dalam musim pertamanya bersama skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu, Abdul Malik menjadi pemain utama TFC sejak awal musim sehinggalah kecederaan buku lali memaksanya diketepikan selama dua bulan, April lalu.

Kelibat pemain lincah itu disisihkan lagi apabila patah tulang rusuk dalam aksi Liga Super pada Julai lalu, sehubungan itu dia kini melaungkan keyakinan sudah kembali mendapatkan rentak terbaiknya sejak saingan kumpulan Piala Malaysia.

Malah, jaringan kemenangan ke atas JDT awal bulan ini disifatkan sebagai tonik terbaiknya meskipun perlu bersaing dengan beberapa pemain di posisi sayap seperti Mohd Shahrul Aizad, J. Partiban dan Ashari Samsudin.

"Walaupun sedikit merudum dalam pertengahan musim, prestasi saya sudah meningkat sejak pulih daripada kecederaan.

"Semoga ada tuah untuk saya mengucup Piala Malaysia buat kali ketiga," tambah Abdul Malik.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)