Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 yang dijual di Stadium Darulaman, Alor Setar hari ini, habis dijual dalam masa satu jam.

Tinjauan Nadi Arena mendapati, ratusan penyokong Kedah sanggup bermalam di stadium untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir, yang bakal menyaksikan skuad Lang Merah menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Perkarangan stadium mula dibanjiri penyokong Hijau Kuning pada awal pagi walaupun kaunter tiket mula dibuka jam 10 pagi.

Penjualan tiket kali ini lebih terkawal berbanding sebelum ini apabila tiada insiden yang tidak diingini berlaku dengan kawalan ketat oleh pihak keselamatan.

"5,000 keping tiket telah diperuntukkan untuk badan-badan gabungan, ahli eksekutif, dan penaja. Jadi, baki 9,000 keping tiket telah mula dijual pada jam 10 pagi tadi," kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shahrol Niza Omar.

"Alhamdulillah, perjalanan penjualan cukup memuaskan dengan keadaan yang cukup terkawal dan penyokong yang cukup berdisiplin. Tahniah KFA ucapkan untuk sambutan serta disiplin yang ditunjukkan oleh penyokong kali ini."

Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan dalam final Piala Malaysia buat kali kedua, selepas perlawanan akhir tahun lalu dimenangi Selangor 2-0 di stadium yang sama.