Seramai 44 penyokong T-Team diberikan tiket percuma oleh pihak pengurusan pasukan itu sebagai tanda penghargaan selepas rombongan itu tersesat ketika dalam perjalanan menyaksikan suku akhir kedua Felda United dan T-Team di Jengka, bulan lalu.

Wakil penyokong, Arifin Mat Ali, 54, berkata mereka terharu dengan keprihatinan pihak pengurusan T-Team, yang tidak terlepas pandang insiden itu.

“Bas rombongan yang kami naiki menuju ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, tersesat ke Jempol, Negeri Sembilan dan kami terlepas menyaksikan perlawanan itu.

“Pemberian ini mengembalikan kegembiraan dan menyuntik semangat kami untuk terus memberikan sokongan, seterusnya melihat T-Team mara ke final," katanya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zin, pihaknya berterima kasih di atas kesungguhan penyokong yang memberikan semangat baik di Kuala Terengganu mahupun di gelanggang lawan.

“Kami berharap pemberian pas masuk percuma ini dapat mengubati kekecewaan 44 penyokong tersebut yang terlepas meraikan kejayaan menewaskan Felda tempoh hari,” ujar Syahrizan.