Kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin, menyifatkan aksi cemerlang Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Muhammad Irfan Zakaria bersama skuad kebangsaan mampu memberi motivasi buat pemain skuad Warga Kota itu untuk menghadapi Selangor dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium KLFA, 7 April ini.

Zaquan dan Irfan beraksi cemerlang ketika berdepan Lubnan walaupun tewas 2-1 dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia di Beirut, Selasa lalu.

Indra berkata kemampuan dua tonggak Kuala Lumpur itu beraksi di peringkat tertinggi sudah pasti turut menyemarakkan semangat pemain untuk berdepan Selangor.

"Insyaa-Allah, dengan apa yang ditunjukkan oleh Zaquan dan Irfan, sedikit-sebanyak membantu menaikkan motivasi pemain lain.

"Saya harap dengan menentang Selangor nanti, pasukan lebih bersemangat dan menunjukkan aksi yang baik," katanya.

Bagi Indra, skuad Warga Kota itu turut mahu menebus kekalahan 2-0 kepada Selangor dalam aksi pertama Liga Super musim ini.

Tambahnya, barisan pemain Kuala Lumpur turut mempunyai sasaran mara jauh dalam saingan Piala FA musim ini.

"Sebagai pemain, kami ada sasaran sendiri. Dalam langkah seterusnya, kami perlu fokus.

"Saya berharap pasukan memberi perhatian kepada Piala FA. Ia satu piala yang bukan mudah tetapi perlu berusaha untuk mendapatkannya," katanya lagi.