Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengakui badan induk itu sedia mengkaji semula hukuman tidak membenarkan Pahang memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi membolehkan pasukan itu beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.

Sebelum ini, FAM menawarkan tempat untuk Pahang beraksi dalam Piala AFC sebagai pengganti juara Piala FA musim lalu, Kedah, yang gagal mendapatkan lesen AFC, namun Pahang menolak tawaran itu sehingga menyebabkan mereka dikenakan hukuman tidak boleh memohon lesen AFC selama dua tahun.

Bagaimanapun, Pahang tampak mahu melakukan rayuan untuk diberi semula slot beraksi di pentas Asia selepas muncul juara Piala FA, kelmarin.

"Pahang masih berpeluang untuk menghantar surat rayuan. Surat itu akan dinilai dan diteliti oleh majlis rayuan dalam FAM sendiri, sebelum menentukan hukuman itu ditarik balik atau digugurkan serta-merta.

"Jadi, peluang buat mereka bukanlah tertutup sepenuhnya," kata Yusoff.

Peluang Pahang untuk diberi pengampunan tampak cerah setelah Pengerusi Malaysia Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut berharap FAM dapat meneliti semula hukuman yang dikenakan demi semangat kesukanan.

"Kami tidak mahu di masa depan, akan ada pihak yang mempertikaikan mengapa pasukan yang melakukan kesalahan tidak diberikan hukuman.

"Peraturan memang perlu diikuti tetapi dalam masa sama, jika ada pasukan yang layak beraksi dalam saingan AFC, kami mahu mereka menyertainya."