Kelantan bertekad mahu memburu kejuaraan Piala FA musim ini sebagai pembakar semangat dalam usaha membina semula kebangkitan pasukan.

Pengurus The Red Warriors (TRW), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, berkata sasaran itu tidak mustahil dicapai sekiranya barisan pemain memberikan persembahan terbaik dalam setiap kali beraksi.

“Tidak salah untuk TRW menanam cita-cita menjulang kejuaraan Piala FA sebab kita pernah melakukannya sebelum ini.

“Tidak ada sebarang tekanan sebaliknya cabaran kepada pemain untuk membuktikan 'sesuatu' musim ini berdasarkan persiapan rapi yang diatur dan memiliki gabungan import dan tempatan berkualiti," ulasnya.

Wan Rakemi juga gembira dengan undian pusingan pertama apabila TRW dijadual menentang Protap FC di gelanggang sendiri, 17 Mac depan.

"Bukan terlalu yakin tetapi saya harap pemain mempamerkan aksi terbaik untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

"Saya juga yakin pengendali, Yusri Che Lah mempunyai ramuan tersendiri untuk memastikan misi tersebut berjaya direalisasikan," katanya.

Untuk rekod, TRW berjaya melakar kejayaan menjulang Piala FA buat kali pertama pada tahun 2012 buat sejak mula diperkenalkan pada tahun 1990.

Kredit Foto: Kelantan FA