Wira Perak, Ronaldo Henrique Silva, gembira dapat membantu pasukan barunya mara ke separuh akhir Piala FA, semalam.

Pemain itu menjaringkan gol penting pada minit ke-88 untuk meleraikan ikatan 1-1, sekali gus membolehkan Perak mara dengan agregat 2-1.

Penyerang dari Brazil itu, yang menggantikan Gilmar Jose Da Silva, meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-23.

Bagaimanapun, Giancarlo Lopes memadamkan kelebihan itu pada minit ke-71 untuk membuka laluan buat PKNP FC ke separuh akhir berdasarkan jaringan di tempat lawan.

"Saya berbangga dan gembira dapat menyumbangkan gol yang membawa Perak ke peringkat berikutnya," katanya.

Pemain dari Brazil itu berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kerana membawanya menyertai pasukan itu.

"Terima kasih kepada Menteri Besar (MB) kerana memberi peluang kepada saya dan (Raianderson) Careca menyarung jersi Perak.

"Kami akan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik untuk membawa pasukan ini ke final dan menjulang trofi," tambahnya.

Mengenai penampilan pertamanya dalam Liga Malaysia (Liga-M), pemain itu mengakui akan corak keras yang diterapkan di negara ini.

Ronaldo, yang kerap menjadi mangsa bentesen pemain pertahanan lawan, bagaimanapun tidak hairan dengan situasi itu.

"Saya seorang pejuang. Ini perkara biasa dalam bola sepak," katanya.