Kelibat pemain tengah Chelsea, Ross Barkley sekali lagi menjadi tumpuan peminat The Blues apabila dia muncul wira pasukannya meledak gol kemenangan menewaskan Leicester City 1-0 dalam aksi suku akhir Piala FA yang berlansung di Stadium King Power pada Isnin.

Bekas pemain Everton itu yang dimasukkan oleh pengendali Chelsea, Frank Lampard pada babak kedua perlawanan turut menguasai bahagian tengah dengan baik dan mengubah rentak permainan pasukannya.



Bagi Tony Adams, Lampard membuat tiga pertukaran tepat termasuk Barkley pada babak kedua perlawanan.

Bekas pertahanan England dan Arsenal itu turut menyifatkan jaringan Barkley pada minit ke-63 itu turut mengingatkannya kepada jaringan yang kerap dilakukan Lampard ketika dia menyarung jersi Chelsea.

"Lampard membuat tiga pertukaran tepat apabila memasukan Barkley, Mateo Kovacic dan Cezar Azpilicueta mengubah perlawanan kerana mereka adalah pemain berpengalaman.

"Cara Barkley meraih gol menyudahkan hantaran Willian mengingatkan saya kepada Lampard, ia gol yang baik buat seorang pemain tengah dan pasti ia membanggakan Lampard.

"Barkley adalah seorang pemain tengah box to box sama seperti Lampard dan dia banyak kali melakukan jaringan seperti itu," kata Adams ketika menjadi tetamu bersama Emile Heskey dalam siaran secara langsung perlawanan Leicester-Chelsea yang disiarkan di saluran CH814 Astro Supersport.



Meskipun sebelum ini sering dibelenggu masalah kecederaan dan beberapa insiden luar padang, Adams percaya Barkley kini semakin matang dalam permainannya.

Sebelum ini, beberapa akhbar Inggeris mula menyuarakan keraguan mengenai masa depan Barkley bersama Chelsea apabila kelab London itu mula dikaitkan dengan pemain tengah Jerman, Kai Havertz.

Namun, aksi cemerlang Barkley ketika berdepan Leicester tampak mampu mengukuhkan kembali kedudukannya dalam perancangan Lampard untuk musim depan.

Dalam pada itu, Heskey tetap menyuarakan keyakinan dengan kemampuan Brendan Rodgers selaku pengurus Leicester biarpun mereka sudah terkeluar daripada saingan Piala FA.

"Ia sebenarnya kerugian buat Leicester apabila tewas kepada Chelsea dalam saingan Piala FA kali ini.

"Tetapi saya masih percayakan Rodgers sebagai individu terbaik mengendalikan Leicester ketika ini, dia mempunyai pendekatan tersendiri dan memberi kebebasan buat pemain untuk menonjolkan corak permainan sendiri ketika bermain.

"Saya percaya dalam masa terdekat Rodgers mampu membawa pulang satu piala buat Leicester," kata Heskey yang juga bekas penyerang Leicester dan Liverpool.

Namun, Heskey juga berharap Leicester akan mampu mengekalkan pemain-pemain tonggak mereka untuk saingan musim depan selepas beberapa pemain seperti Ben Chilwell kini turut dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan lain.