Kehadiran penyerang veteran Selangor, Mohd Amri Yahyah, perlu diawasi oleh PKNS FC jika mereka berhasrat mencipta sejarah untuk layak sekali lagi ke pentas akhir Piala FA seperti saingan dua tahun lalu.

Bekas rakan sepasukan Amri, Safee Sali, yang kini bersama PKNS melihat kesungguhan Amri sentiasa menjadi pendorong kuat kepada pemain-pemain muda di Selangor.

Cukup faham dengan perwatakan pemain berusia 36 tahun itu, Safee mengingatkan rakan sepasukannya agar berwaspada dengan permainan Amri dalam separuh akhir pertama Piala FA di antara Selangor dan PKNS, esok.

"Memang Amri seorang pemain yang baik untuk pasukan Selangor, terutama kemampuannya dalam membimbing pemain-pemain muda untuk beraksi dengan cemerlang.

"Jelas sekali dia menjadi salah seorang pemain yang perlu dipandang serius," kata Safee.

Sementara itu, pemain tengah PKNS, Daniel Ting, tidak mahu rekod pertemuan menyaksikan satu kemenangan dan satu seri dalam saingan Liga Super yang memihak Selangor dijadikan panduan.

Sebaliknya, dia percaya pertembungan separuh akhir Piala FA akan menjadi satu pentas berbeza selain yakin faktor pengalaman mampu membantu PKNS merintis laluan ke perlawanan akhir.

"Kami sudah bertemu mereka dalam saingan liga dan sudah arif dengan cara permainan mereka.

"Mungkin kami akan melakukan pendekatan berbeza dan sesuai untuk menentang Selangor kali ini," ujar Daniel.