Tonggak tengah Pahang, Ahmad Syamim Yahya, bertekad menebus igauan buruk tiga tahun lalu dengan membantu Pahang untuk mengecewakan Kedah bagi meraih gelaran Piala FA, Sabtu ini.

Syamim mempunyai detik duka dalam kempen Piala FA ketika menyarung jersi Felda United pada 2014.

Pemain kelahiran Raub, Pahang, itu dinafikan nikmat kejuaraan selepas The Fighters tunduk 2-1 di tangan Pahang dalam aksi final.

Bagaimanapun, Syamim tidak perlu menunggu masa yang lama untuk menebuskan kehampaan itu dan menariknya, dia berpeluang berbuat demikian bersama pasukan yang telah mengecewakannya tiga tahun lalu.

"Dalam aksi pertama sebelum ini, saya menemui kegagalan.

"Namun kali ini, saya mahu memberikan aksi terbaik.

"Kami mahu menjulang trofi pada musim ini, untuk diri sendiri dan negeri kelahiran saya," katanya.

Syamim memperagakan aksi meyakinkan sejak menyertai skuad Tok Gajah di bawah kendalian Dollah Salleh, musim ini.

Malah, dia membuktikan keupayaannya beraksi di posisi berbeza daripada kebiasaannya sebelum ini, iaitu selaku perancang pasukan.

Kini, dia optimis mampu menjelmakan aksi ampuh bagi menandingi kehebatan arkitek Kedah, Liridon Krasniqi.

"Kita tahu Kedah sebuah pasukan mantap dalam Liga Malaysia.

"Mereka begitu mantap di setiap posisi tetapi kami akan berjuang dan tidak akan mengaku kalah."