"Lupakan ketiadaan Tan Cheng Hoe, misi pada Sabtu ini lebih penting." Itu peringatan pemain import Kedah, Liridon Krasniqi, kepada rakan sepasukan supaya lebih fokus terhadap saingan akhir Piala FA, Sabtu ini.

Krasniqi mengakui Kedah, terutama membabitkan pemain, tersentak dengan ketiadaan individu penting, Cheng Hoe, yang berjaya membawa pasukan Hijau Kuning ke tahap ini.

Kedah hilang bisa di laman sendiri dan gagal mempertahankan rekod tanpa kalah sebaik sahaja Cheng Hoe menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat dengan Harimau Malaya dan terpaksa meninggalkan Kedah tatkala mereka berada di tahap terbaik.

Begitupun, meratapi pengunduran Cheng Hoe tidak akan memberi sebarang manfaat, sebaliknya Krasniqi mahu keputusan jurulatih itu meninggalkan Kedah segera dilupakan pemain lain.

"Apa yang berlaku biarkan berlalu.

"Kami perlu fokus dan meneruskan perjuangan.

"Kedatangan dan pemergian pemain serta jurulatih adalah asam garam dalam bola sepak.

"Kalau anda tidak dapat menyesuaikan diri dengan situasi ini, maka usah jadi pemain bola sepak," katanya.

Mengakui tertekan beraksi sebagai pemain harapan untuk menjulang Kedah, Krasniqi, bagaimanapun, tidak terbeban dengan tanggungjawab melunaskan jaringan ketika dia melihat pemain lain juga memiliki tanggungjawab yang sama.

"Sama ada saya dapat menjaringkan gol atau tidak, saya tidak kisah langsung.

"Tetapi memang menarik kalau saya dapat melakukannya dalam aksi final.

"Kalau gagal mencipta bantuan gol sekalipun, tidak mengapa asalkan saya dapat mempamerkan aksi bagus.

"Kami hanya perlu menang dan kebiasaannya, perlawanan akhir penuh dengan kejutan."