Kedah mengesahkan slot ke final Piala FA selepas mudah mengatasi Terengganu 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi untuk mara dengan agregat 4-0.

Hanya empat minit perlawanan bermula, 10,000 penyokong Sang Penyu tergamam apabila Liridon Krasniqi menyambung rembatan Mohd Syazwan Zainon yang terlebih dahulu terkena tiang untuk gol pertama pelawat.

Gol itu menyemarakkan lagi semangat Kedah dengan percubaan Mohd Syazwan (minit-15) dan Ken Ilso Larsen (minit-24) berjaya ditepis penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang.

Minit ke-28 menyaksikan Ken Ilso tidak mensia-siakan kealpaan barisan pertahanan Sang Penyu untuk menjaringkan gol kedua pasukannya.

Terengganu cuba bangkit menerusi sepakan percuma Lazaro Vinicious pada minit ke-38, malangnya percubaan pemain kelahiran Brazil itu gagal menewaskan Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Hasrat tuan rumah untuk menamatkan babak pertama dengan jaringan terus buntu selepas gerakan Issey Farran Nakajima (minit-43) dan Abdul Latiff Suhami (minit-45) dipatahkan barisan pertahanan Kedah.

Dua minit permainan bersambung, Sandro da Silva Mendonca berjaya melepasi pertahanan tuan rumah dan menggelecek Amierul Hakimi sebelum mudah menolak masuk untuk gol ketiga pasukannya.

Minit ke-56 menyaksikan Liridon dan Baddrol Bakhtiar terus menguji gawang Terengganu pada minit ke-56 tetapi ditepis Amierul Hakimi.

Pemain gantian Terengganu, Ismail Faruqi Ashari, cuba memberi tekanan kepada pelawat dengan percubaan jarak jauh pada minit ke-68 yang berjaya digagalkan Ifwat.

Barisan pertahanan Kedah diketuai Khairul Helmi Johari terus gagah mempertahankan kelebihan jaringan dan kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.

Kredit Foto: Kedah FA