Pertembungan awal di antara dua gergasi Liga Malaysia, (Liga-M), Pahang dan Kedah, dalam pusingan kedua Piala FA yang dianggap membunuh kemeriahan sebenar selain pertemuan di antara Selangor dan Sarawak United umpama bayangan lunas dendam Amri Yahyah terhadap pasukan kendalian B. Sathianathan itu.

Juara bertahan 2019, Kedah, bakal diuji seawal pusingan kedua musim ini apabila diundi bertemu Tok Gajah.

Namun, kelebihan mungkin memihak kepada Lang Merah berikutan pertemuan pertama bakal berlangsung di Stadium Darul Aman 17 Mac depan.




Kedah sudah pasti ingin mempertahankan piala yang diperoleh selepas menumpaskan Perak musim lalu apabila berhasrat menggunakan kesempatan di atas dilema skuad Dollah Salleh itu dalam persiapan musim ini.

"Kami sudah menjalani persiapan sejak Disember lagi dan kami juga telah mengharungi perlawanan kompetitif, kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Kami akan layan perlawanan ini tetap sama.

"Mana-mana pasukan ada kelemahan dan kekuatan tersendiri," kata Setiausaha Eksekutif Kedah, Sharul Samsudin, kepada wakil Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, dalam Majlis Penajaan Dan Undian Piala FA di Damansara hari ini.




Pertembungan menarik turut terarah kepada jaguh Liga Super dan kelab Liga Perdana, Sarawak United.

Isu Sathianathan-Amri kembali mencuri perhatian -- merujuk kepada janji bekas ketua pasukan itu yang bertekad mepastikan kekalahan Gergasi Merah di tangan pasukannya sekiranya berpeluang berentap pada musim ini.

Johor Darul Ta'zim (JDT) pula berdepan laluan mudah dalam saingan yang menawarkan tiket Piala AFC itu apabila akan diuji KL Rovers.

Bagi pemain tengah KL Rovers, Hafiz Kamal, ia adalah pertembungan yang sukar tetapi menganggap ia sebagai lumrah dalam saingan itu.

"Pasukan ini baru ditubuhkan tahun ini, saya harap kami dapat berikan yang terbaik bagi pertemuan dengan JDT," kata bekas pemain Selangor itu.

Dalam perkembangan itu, Harimau Selatan bersetuju untuk meningkatkan tambahan 300 tiket kepada penyokong Kedah -- secara keseluruhannya 800 tiket -- sempena aksi pembuka tirai, Piala Sumbangsih, buat pelawat.

Hal itu disahkan sendiri pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Malaysia (MFL), Datuk Abdul Ghani Hassan, dengan menggambarkan ia berita gembira buat penyokong Hijau Kuning biarpun permintaan asal mereka adalah sebanyak 1000 keping.

"Jumlah tiket keseluruhan buat Kedah adalah 800 keping, bukan semua kehendak kita boleh didapati.

"Alhamdulillah, JDT sanggup melanggar panduan itu," kata Abdul Ghani.

JADUAL PENUH:

Felda United lwn Kelantan United

Melaka lwn Langkawi City FC

Markless ST lwn ATM FC

Selangor lwn Sarawak United FC

PJ City FC lwn Imigresen FC

Kuantan FC lwn KSR Sains

Mahsa lwn PDRM

Perak lwn KT Rovers

KL Rovers lwn JDT

UiTM FC lwn Kuching FA

Sarawak lwn Terengganu FC

SS FC lwn UKM FC

Kelantan lwn Protap FC

Pulau Pinang lwn Negeri Sembilan

Kedah lwn Pahang

Sabah lwn Kuala Lumpur