Selepas membawa Kedah mara ke pentas akhir Piala FA, Muhammad Nidzam Adzha berkongsi kesediaannya untuk dilantik sebagai jurulatih jika mendapat kepercayaan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Sebelum ini, KFA menjelaskan mereka boleh memberi peluang kepada pemangku jurulatih itu sekiranya dia mampu membimbing Kedah meraih keputusan cemerlang hingga penghujung bulan ini.

Nidzam dilihat hanya selangkah lagi untuk menjadikan jawatan jurulatih miliknya, jika berjaya membawa Lang Merah menjuarai Piala FA.

Biarpun masih belum memikirkan secara mendalam, Nidzam secara jujur berharap mampu mendapat peranan itu seandai diberi peluang.

"Saya perlu fikir dahulu, bagi saya Kedah adalah satu pasukan elit. Pasukan yang memerlukan jurulatih berprofil tinggi.

"Namun jika tanggungjawab itu diberikan kepada saya, saya akan menggalas cabaran itu," katanya.

Kedah menewaskan Terengganu 3-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Keputusan itu mengesahkan kemaraan Kedah ke perlawanan akhir -- untuk bertemu Pahang -- dengan agregat 4-0.

Sementara itu, pentas Piala FA 2017 nyata istimewa buat Baddrol Bakhtiar selepas dia satu-satunya pemain yang masih kekal sejak Kedah kali terakhir menjuarai pertandingan itu pada 2008.

Baddrol melihat kombinasi pemain senior dan junior sama seperti skuad 2008, bakal membantu Kedah sekali lagi mengharungi gelora pentas akhir di Stadium Shah Alam, 20 Mei ini.

"Mungkin tahun ini kombinasi pemain senior dan junior banyak membantu kami. Kami sebagai pemain senior perlu memberikan bantuan kepada pemain muda seperti mana kami mendapat bantuan daripada pemain import," katanya.