Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, tampak berada dalam dilema apabila perlu memantau perkembangan anaknya di hospital tatkala dia berdepan misi besar, iaitu aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Selangor berpeluang untuk menamatkan penantian sembilan tahun bagi menjulang Piala FA apabila bakal berdepan Pahang di pentas akhir.

Namun, timbul persoalan tentang komitmen yang akan diberikan Nazliazmi selepas isterinya baru sahaja melahirkan bayi lelaki dan kedua-duanya memerlukan perhatian ekoran masalah yang wujud.

Bagaimanapun, Nazliazmi menegaskan bahawa walaupun bayinya tidak berada dalam keadaan yang memuaskan, dia tetap akan melunaskan tanggungjawabnya kepada skuad Gergasi Merah.

"Syukur kerana dapat membawa Selangor ke final dan dalam masa sama, saya menerima kehadiran cahaya mata baru," kata Nazliazmi.

"Ini berita gembira bagi saya tetapi saya juga perlu melakukan sedikit pengorbanan bagi mempersiapkan diri menjelang perlawanan akhir pada Sabtu ini.

"Apabila ada sedikit masalah, saya menerimanya secara profesional. Saya tetap menjalankan tanggungjawab bersama pasukan sambil memantau setiap perkembangan terbaru."