Bekas penyerang Manchester United, Dwight Yorke berasa bekas pasukannya itu memerlukan dua atau tiga musim sebelum mampu untuk kembali menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Yorke yang membarisi skuad United yang muncul juara treble 1998/99 turut akui saingan musim depan akan lebih mencabar selepas juara EPL musim ini, Liverpool meletakkan tanda aras yang cukup tinggi.

"Saingan kini lebih mencabar dengan Liverpool menjuarai liga dengan tahap yang tinggi, manakala pasukan seperti Manchester City dan Chelsea turut menguatkan skuad masing-masing.

"Ole [Gunnar Solksjaer] memulakan tugas sebagai pengurus dengan baik musim lalu sebelum pasukan sedikit merosot, tetapi dia berjaya memberikan nafas baru dengan melakukan dua pembelian yang baik iaitu Bruno Fernandes dan Odion Ighalo.

"Mungkin United memerlukan dua atau tiga musim lagi untuk memperkasakan pasukan sebelum mampu muncul juara EPL," kata Yorke ketika menjadi tetamu siaran langsung aksi suku akhir Piala FA antara Norwich dan United bersama Grant Holt pada pagi Ahad.



Aksi Norwich dan United menyaksikan pelawat merakam kemenangan 2-1 di Carrow Road dan Yorke percaya pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solkjaer akan cuba menjulang Piala FA memandangkan mereka kini di separuh akhir.

Namun, Yorke berasa bekas rakan sepasukannya itu juga perlu cuba memastikan United mampu menamatkan saingan EPL musim ini di tangga keempat bagi memastikan layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

"Ia penting untuk kelab sebesar United layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah bagi memastikan mereka sentiasa di kalangan kelab terbaik Eropah.

"Apa pun dengan kini United di separuh akhir dan tidak kisah siapa yang menanti nanti,sudah pasti Ole akan juga cuba merakam kejuaraan pertamanya sebagai pengurus United," kata Yorke.

Dalam pada itu Yorke turut berasa pemain tengah menyerang United, Jesse Lingard kini perlu segera meningkatkan permainannya jika mahu terus bersama kelab itu jangka masa panjang.

Bekas penyerang antarabangsa Trinidad & Tobago ini melihat Lingard sukar menangani tekanan dan harapan tinggi di United dan pemain itu turut beraksi hambar berdepan Norwich.

"Dia adalah produk akademi United, memulakan karier dengan baik bersama kelab itu beberapa musim lalu dan dia berjaya menembusi skuad utama pada waktu sama dengan Marcus Rashford.

"Tetapi Rashford kini sudah berada di tahap yang jauh lebih tinggi manakala Lingard pula tidak banyak meningkat sejak musim lalu dan kini tampak terdesak untuk membuktikan statusnya sebagai pemain United.

"Dia perlu segera menemui tahap terbaiknya dan jika gagal, mungkin dia terpaksa menimbang kemungkinan mengubah haluan bersama kelab lain," kata Yorke.