Masalah kekurangan pemain yang mampu memainkan watak pemimpin di atas padang dilihat sebagai antara faktor kelemahan utama skuad Manchester United kendalian Ole Gunnar Solskjaer ketika ini.

Bagi bekas jurulatih skuad utama United, Rene Meulensteen, hanya pemain tengah Bruno Fernandes tampak mempunyai ciri-ciri memimpin sejak menyertai The Red Devils Januari lalu dan turut menjadi antara faktor utama kebangkitan pasukan itu.

Namun, tidak cukup hanya terdapat seorang pemain dengan ciri kepimpinan seperti Fernandes dalam pasukan dan ia terbukti ketika United tumpas 3-1 di tangan Chelsea ketika aksi separuh akhir Piala FA yang berlangsung di Wembley pada Isnin.



“Kita dapat lihat sebelum kehadiran Fernandes, United kekurangan pemimpin, dengan pemain senior seperti David De Gea tampak sukar memainkan peranan itu dan begitu juga pemain seperti Harry Maguire yang baru menyertai pasukan pada musim ini [kerana] bermain untuk United berbeza dengan pasukan lain.

“Tetapi jiwa kepimpinan perlu ada dalam pasukan dan jika kita imbas kembali skuad United sebelum ini, terdapat ramai pemain yang mempunyai watak pemimpin seperti Roy Keane, Gary Neville, Rio Ferdinand dan juga Patrice Evra.

“Apa yang penting adalah mereka semua pemenang, jadi mentaliti itu yang dibawa ketika latihan dan juga setiap kali pasukan menghadapi pelawanan,” kata Meulensteen ketika menjadi tetamu Astro Superspor bersama Mark Schwarzer dalam siaran langsung aksi separuh akhir Piala FA tersebut.

Muelensteen juga berasa skuad Chelsea kendalian Frank Lampard kini mempunyai personality pemain yang lebih matang sebagai pemimpin berbanding United, dengan adanya pemain seperti Cesar Azpilicueta dan juga Mateo Kovacic.

Dalam pada itu, Schwarzer pula berasa pemain dengan status seperti Paul Pogba seharusnya berupaya memainkan peranan lebih besar bersama United dan setakat ini, bekas penjaga gol antarabangsa Australia itu masih belum yakin dengan kelibat pemain tengah Perancis tersebut.

“Pogba seorang juara dunia bersama Perancis dan sudah pasti harapan terhadapnya cukup besar bersama United, tetapi setakat ini saya belum lagi melihat aksi konsisten daripadanya selama 90 minit perlawanan.

“Saya lihat Pogba seorang pemain yang mampu bermain dengan baik jika bersama dengan seorang pemain bertaraf dunia, tetapi jika harapan hanya kepadanya dia tidak mampu melakukannya.

“Dia mungkin boleh bermain besama Fernandes, tetapi dia sendiri perlu lebih konsisten dan saya sebenarnya terkejut, selepas hanya beberapa perlawanan beraksi dengan baik dia bakal ditawarkan kontrak baru dan mungkin keadaan sudah beubah daripada zaman ketika saya beraksi,” kata Schwarzer.