Insiden dibuang padang dalam perlawanan menentang T-Team minggu lalu sudah dilupakan pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, yang kini mahu memberi fokus membantu Kedah melangkah ke separuh akhir Piala FA.

Nyata, perasaan kecewa masih berbekas di hati Rizal, namun dia menganggap itu sebagai asam garam bergelar pemain bola sepak.

Enggan mengungkit lagi apa yang terjadi, dia berharap rakan sepasukannya menjadikan aksi berdepan PKNP FC sebagai medan kebangkitan Kedah selepas gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir.

Kedah membawa bekalan 6-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

"Semua pemain nampak agak kecewa kerana buat pertama kali kalah 5-0.

"Kami meletak ke tepi situasi itu dan setiap pemain tidak akan terlepas dengan masalah seperti itu," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, memberi bayangan akan membuat rombakan memandangkan mereka dijangka bermain dalam tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari.

Walaupun begitu, dia tetap menjadikan kemenangan sebagai motivasi utama buat pemain memandangkan PKNP masih belum tewas di laman sendiri, musim ini.

Kedah akan turun tanpa perancang utama, Liridon Krasniqi, yang masih dibelenggu kecederaan.

"Kita tahu PKNP mempunyai rekod yang baik di Stadium Perak, saya harap pemain yang diturunkan akan menampilkan komitmen 100 peratus.

"Saya mahu pemain berusaha keras dan memberi komitmen tinggi dalam setiap perlawanan," kata bakal penolong jurulatih Harimau Malaya itu.