Kedah hampir pasti turun tanpa dua nadi benteng pasukan, Zach Anderson dan Mohd Ifwat Akmal Che Kassim, akibat kecederaan namun dua pemain yang bakal menjadi pengganti, Syawal Nordin dan Abdul Hadi Hamid, sudah bersedia menyekat Terengganu dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu, malam ini.

Syawal, yang pernah bertindak selaku ketua pasukan dalam aksi suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC mengakui, tiada sebarang masalah untuk dia membentuk gandingan bersama Khairul Helmi Johari di bahagian pertahanan.

Biarpun tanpa pemain import di benteng Lang Merah, dia menganggap ia bukan satu masalah besar berikutan kemampuan tonggak tempatan berada di tahap setanding.

"Saya kerap digandingkan bersama Khairul Helmi pada tahun lepas dan kami tidak mempunyai masalah komunikasi untuk membentuk gandingan.

"Kami sebagai pemain tempatan pun boleh melaksanakan tugas seperti pemain import," kata anak jati Baling, Kedah itu.

Sementara itu, Abdul Hadi yang merupakan penjaga gol berpengalaman Kedah sama sekali tidak kekok jika diberi peranan dalam kesebelasan utama.

Kecederaan Ifwat yang dialami ketika menentang PKNS FC mungkin memberi hikmah tersendiri buat Abdul Hadi untuk membuktikan bahawa dia masih antara penjaga gol terbaik Kedah.

"Jika kami dapat bertindak sebagai sebuah pasukan, Insya-Allah kami boleh melakukannya," ujarnya.

Dalam suku akhir pertama pada 30 April lalu, Kedah membawa bekalan tipis selepas menang 1-0 di Stadium Darul Aman hasil jaringan Mohd Farhan Roslan.