Kejayaan Kelantan United menyertai Liga Perdana musim ini membuktikan pasukan itu mampu memberikan ancaman buat Felda United dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA bulan depan.

Perkara itu diakui sendiri ketua jurulatih The Fighters, Nidzam Jamil, yang enggan anak buahnya memandang rendah lawan yang dianggap sebagai pasukan bukan pilihan itu.

Ia sebagai mengambil iktibar kegagalan pasukannya meraih kemenangan selesa ketika berdepan pasukan Liga M3, Kuching FA, di peringkat sama kejohanan itu musim lalu.

"Kami tidak boleh memandang mudah (Kelantan United).

"Setiap perlawanan perlu diambil serius.

"Kami menghormati Kelantan United kerana mereka dinaikkan daripada Liga M3 kepada Liga Perdana.

"Saya rasa mereka mempunyai potensi dan perwatakan.

"Saya masih ingat, kami hanya mampu menang tipis 1-0 pada minit ke-90 ketika berdepan Kuching FA dalam perlawanan pertama Piala FA musim lalu.

"Jadi, saya tidak mahu perkara itu berulang," katanya.

Menjelang sepak mula Liga Super hujung minggu ini, Nidzam berpuas hati dengan prestasi pemain tengah, Faiz Mazlan, dalam perlawanan pramusim dan yakin pemain itu mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan perancang utama pasukannya, Daniel Amier Norhisham, yang masih belum pulih daripada pembedahan tulang metatarsal.

"Daniel Amier terpaksa menjalani pembedahan membuang tulang (lebihan) dan ia agak menyakitkan.

"Tetapi saya gembira dengan prestasi Faiz Mazlan.

"Tahun lalu, dia bermain lebih daripada 12 perlawanan dan hanya berusia 21 tahun.

"Dia seorang pemain tengah kotak ke kotak dan amat bijak apabila bola berada di kakinya.

"Saya harap dia dapat beraksi baik sehingga dapat mewakili negara tetapi ia terpulang kepada dirinya sendiri," tambahnya.