Pemain muda Kedah, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, mahu menjadikan kejayaannya membantu Kedah menjulang Piala FA sebagai semangat untuk berusaha lebih keras dalam Piala Malaysia 2019 dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Fadzrul Danel, 21, yang merupakan pemain tengah pasukan Lang Merah, sama sekali tidak menyangka dapat menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Perak 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

“Ini merupakan perlawanan terbesar dalam hidup saya dan sebelum masuk padang, ketua jurulatih (Aidil Sharin Sahak) tidak banyak bercakap dan hanya berpesan kepada saya kalau dapat bola, terus cuba untuk jaringkan gol dan saya sama sekali tidak sangka mampu lakukan perkara itu.

“Saya akan bawa pengalaman yang ditimba ini untuk perlawanan Piala Malaysia dan ACL akan datang dan akan buat persediaan lebih baik untuk bantu pasukan menjulang piala yang lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), hari ini

Terdahulu, skuad Hijau Kuning yang menaiki pesawat Firefly selamat tiba di LTSAH bersama Piala FA yang dimenangi, pada jam 4.10 petang tadi sebelum disambut ahli keluarga dan penyokong.

Fadzrul Danel berterima kasih kepada keluarga dan penyokong yang tidak putus-putus mengirimkan ucapan tahniah selepas membantu Kedah menjulang kejuaraan.

“Saya gembira sangat semalam sampai tidak lena tidur. Penyokong pula banyak mengirimkan ucapan tahniah di laman media sosial saya dan itu membuatkan saya rasa cukup terharu,” katanya.

Fadzrul Danel muncul wira skuad Lang Merah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-105 untuk memusnahkan harapan Perak menjulang Piala FA yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2004.

Kejayaan itu juga meletakkan Kedah menyamai rekod kejuaraan lima kali milik Selangor selepas turut meraih gelaran juara pada 1996, 2007, 2008 dan 2017 selain melayakkan mereka beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.

-- BERNAMA