Selepas mengemudi Perak ke tangga kelima liga, Mehmet Durakovic mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan akhir Piala FA bertemu Kedah di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Mengakui berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya itu, Durakovic berkata segala perhatian akan diberikan untuk membawa trofi kalah mati itu ke Ipoh kali ini.

"Selepas perlawanan dengan Kuala Lumpur malam ini (tadi), kami akan lakukan rehat dan rawat bagi pemulihan pasukan.

"Kemudian kami akan mula membuat persiapan terakhir untuk misi di Bukit Jalil," kata jurulatih Perak itu selepas kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur di tempat sendiri, malam tadi.

Durakovic memuji anak buahnya ketika merakam kemenangan 2-1 ke atas skuad Warga Kota itu untuk menutup kempen Liga Super 2019.

"Kami menguasai perlawanan dari mula dan sepatutnya boleh menang dengan jurang lebih besar.

"Apapun, saya puas hati dan gembira dengan persembahan pemain, " katanya.

Dalam perlawanan itu, Durakovic yang tidak percaya dengan polisi menyimpan kuku dengan merehatkan pemain kecuali Hussein El Dor, menurunkan kesebelasan terbaiknya sebagai langkah mempersiapkan barisan pemainnya sempena perlawanan berikutnya yang lebih getir.

Menurut jurulatih itu, jika boleh dia mahu memenangi setiap perlawanan.

Sehubungan itu, dia hanya akan memberi peluang kepada pemain terbaik beraksi dalam setiap perlawanan.