Pertahanan Pahang, Matthew Davies, mengakui dua gol awal Johor Darul Ta'zim (JDT) langsung tidak memadamkan api perjuangan Tok Gajah ketika aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Larkin, malam tadi.

Harapan Pahang untuk ke separuh akhir hampir musnah gara-gara dibolosi dua gol awal itu untuk mengikat agregat 3-3.

Ia menyaksikan kelebihan peraturan jaringan tempat lawan tidak memihak Pahang pada satu ketika setelah mereka menang 3-1 pada pertemuan pertama sebelum ini.

Mujur, Mohamadou Sumareh berjaya menyumbat gol penting buat Pahang empat minit sebelum wisel penamat untuk memastikan kemaraan menerusi agregat 4-3.

"Sejak gol kedua JDT, kami sedar kami hanya memerlukan satu gol. Tahniah kepada rakan sepasukan meskipun kami gagal menyaingi mereka pada suatu ketika tetapi kami bernasib baik untuk mendapat satu gol itu," kata Davies.

Anak buah Dollah Salleh mengulangi pencapaian kali terakhir ke separuh akhir dua tahun lalu.

Sememangnya ia detik manis buat skuad Tok Gajah setelah dilanda prestasi buruk musim lalu.

"Musim lalu amat sukar tetapi itulah bola sepak. Segala-galanya mampu berubah dengan cepat.

"Ketika saya mula sertai Pahang, kami melakar kemenangan sahaja tetapi kejatuhan tahun lalu membuka mata kami. Ia banyak mengajar kami," tambah Davies.