Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, tetap tenang menghadapi aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang PKNP FC malam esok walaupun kehilangan tiga pemain utama.

Tiga pemain tersebut adalah Nor Azam Azih, Safuwan Baharuddin serta kapten, Matthew Davies, yang akan terlepas aksi di Stadium Darulmakmur ekoran penggantungan perlawanan, sekali gus memberikan tamparan besar buat skuad Tok Gajah.

Bagaimanapun, bekas pengendali kebangsaan itu kekal tenang mencongak percaturan untuk berdepan pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim itu.

"Safuwan, Azam dan Matthew masing-masing tidak dapat beraksi dan ia membuatkan pasukan sedikit pincang kerana mereka merupakan tonggak utama Pahang," katanya.

Dalam masa sama, Dollah mengharapkan pemain import, Austin Amutu, dapat diturunkan bagi menutup kelemahan ketika berdepan PKNP.

"Ketika aksi sebelum ini, dia dimasukkan dalam babak kedua dan dia tampak sedikit pulih daripada kecederaan.

"Saya percaya dia mungkin dapat beraksi sepenuhnya malam esok."