"Tiada kejohanan antarabangsa sehingga akhir tahun ini."

Penjelasan itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shaffriman Hanif, kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini sekali gus menutup spekulasi perlumbaan Formula Satu (F1) akan kembali semula selepas dihentikan pada 2017.

Spekulasi F1 akan kembali ke Malaysia menjadi bualan seandainya Grand Prix (GP) China dibatalkan pada tahun ini.

Namun, dengan keadaan dunia yang masih berperang dengan penularan COVID-19, SIC tidak bercadang untuk mengambil risiko untuk menganjurkan sebarang kejohanan antarabangsa.

Selain MotoGP, saingan Kejohanan Ketahanan Motosikal Dunia (EWC) dan Perlumbaan Kereta Touring Dunia (WTCR) juga tidak akan berlangsung di SIC pada tahun ini.

"Kes COVID-19 di Malaysia semakin meningkat buat masa ini, belum sampai tahap kes sifar lagi.

"Berikutan kes yang mencatatkan dua angka ini, ia mempengaruhi keputusan pihak yang terbabit seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) jadi kami memutuskan untuk tidak mengambil risiko.

"Kami takut wujudnya kluster SIC atau MotoGP yang boleh menjadikan acara ini bertukar negatif.

"Kita sedang berdepan dengan musuh yang tidak nampak," kata Azhan.

Dalam masa yang sama, pihak SIC juga bersedia untuk memulangkan semula duit buat peminat tempatan yang sudah pun membeli tiket untuk saingan MotoGP pada tahun ini.

Dianggarkan sekitar 30 peratus tiket sudah pun terjual sebelum ini namun dihentikan pada Mac lalu ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka boleh berhubung dengan pihak kami untuk mendapatkan pemulangan semula duit.

"Mungkin kami juga sedia berbincang (mengenai tawaran) pembelian tiket untuk masa depan."