Fabio Quartararo berdepan cabaran untuk mengekalkan prestasinya seperti musim lalu selepas mengakui jentera Yamaha tahun ini lebih sukar untuk ditunggang.

Pelumba berbangsa Perancis itu melewati musim pertamanya dengan gemilang sehingga diberi gelaran 'pakar satu pusingan' di mana dia memperoleh kedudukan pole sebanyak enam kali -- walaupun tidak pernah menjuarai perlumbaan ketika memulakannya di kedudukan itu.

Quartararo tidak mempamerkan rentak yang sama dalam sesi latihan bebas semalam, ketika MotoGP kembali dengan perlumbaan Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez.

Dia menamatkan saingan itu di kedudukan ke-15 secara keseluruhan biarpun menamatkan FP2 di kedudukan kedua di belakang rakan sepasukannya, Franco Morbidelli.

Juara bertahan, Marc Marquez, kemalangan dalam FP2 tetapi masih mengungguli kedudukan keseluruhan selepas mencatatkan masa terpantas dalam FP1 (1 minit 37.350 saat).

"Bagi saya, jentera Yamaha tahun ini lebih sukar untuk ditunggang berbanding musim lalu.

"Jadi, saya fikir semua orang perlu menukar sedikit pemikiran bahawa jentera Yamaha mudah ditunggang.

"Sejujurnya, terdapat bahagian yang kuat dan terdapat bahagian yang lemah pada jentera ini.

"Sudah pasti, kami sedar kelemahan kami adalah kelajuan kemuncak tetapi kami sedang mengusahakannya dan terdapat perkara positif yang kami mahu lihat selepas beberapa perlumbaan.

"Buat masa ini, amat sukar untuk memperkatakannya kerana ia baru sesi laihan pertama menjelang perlumbaan hujung minggu ini tetapi jentera ini, saya boleh kata ia berpotensi," katanya.