Fabio Quartararo mengatasi Maverick Vinales untuk menyambar petak utama dalam Grand Prix (GP) Sepanyol sementara juara bertahan MotoGP, Marc Marquez, ketiga, sebentar tadi.

Pelumba Petronas Yamaha, Quartararo, mempamerkan tunggangan hebat untuk menempa rekod sepusingan terpantas, 1 minit 36.705 saat dalam percubaan terakhir kelayakan kedua di Litar Jerez itu.

Walaupun penunggang berusia 21 tahun itu, yang dijulang Pelumba Muda Terbaik 2019, menggunakan jentera Yamaha spesifikasi kilang musim ini namun sama sekali tidak menghalangnya daripada meraih petak utama ketujuh sepanjang kariernya.

Quartararo kini berharap dapat mengekalkan rentak itu dalam misinya menjuarai perlumbaan pertama dalam kelas perdana selepas menamatkan perlumbaan MotoGP sebanyak lima kali musim lalu.



"Saya terleka dalam pusingan terakhir. Saya tidak berasa ia sebagai satu pusingan yang sempurna memandangkan ada pelumba yang kemalangan di selekoh ke-11 jadi saya cuba lebih berhati-hati.

"Kami berusaha dengan cukup baik dalam FP4 (ujian bebas keempat). Kepantasan (jentera) dalam keadaan baik. Esok kami akan cuba sesuatu lain dan kami sudah bersedia untuk berjuang."


Keputusan lain:

1. Fabio Quartararo (Petronas Yamaha) 1:36.705s
2. Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) +0.139s
3. Marc Marquez (Repsol Honda) +0.157s
4. Francesco Bagnaia (Pramac Racing) +0.250s
5. Jack Miller (Pramac Racing) +0.748s
6. Cal Crutchlow (LCR Honda) +0.749s
7. Pol Espargaro (Red Bull KTM) +0.788s
8. Andrea Dovizioso (Ducati) +0.830s
9. Alex Rins (Suzuki Ecstar) +0.931s
10. Franco Morbidelli (Petronas Yamaha) +0.969s