Maverick Vinales memiliki peluang keemasan untuk meletakkan dirinya sebagai pencabar utama gelaran MotoGP apabila menyambar petak depan di Misano, Itali, malam tadi.

Kali terakhir Vinales memulakan Grand Prix (GP) San Marino di petak depan tetapi gagal menterjemahkan kedudukan itu dengan kejayaan apabila mengakhiri saingan di tempat keenam.

Penunggang Sepanyol itu dipisahkan 18 mata dengan Andrea Dovizioso dalam persaingan terbuka bagi merampas gelaran dunia daripada Marc Marquez yang tercedera.

Dia menguasai petak utama untuk menerajui perlumbaan susulan kesilapan Francesco Bagnaia yang membuka ruang buatnya dalam GP Emilia Romagna itu.

Bagnaia mencatat masa terpantas dalam ujian bebas ketiga apabila merakamkan rekod baru sepusingan, 1 minit 30.973 saat, tetapi gara-gara melanggar peraturan laluan trek, kesemua pencapaian itu diserahkan kepada Vinales.

Namun, pemilik rekod terpantas sepusingan di Misano itu tidak mahu mendabik dada terlalu awal -- bermula jam 8 malam ini -- menjelang perlumbaan menarik itu dalam menentukan siapakah yang akan melintasi garisan penamat terlebih dahulu.

Vinales akan dicabar sengit Jack Miller dan Fabio Quartararo di barisan hadapan sementara Bagnaia di petak kelima.

Pendahulu kejuaraan, Dovizioso pula mengetuai barisan keempat dan Franco Morbidelli pula -- juara GP San Marino -- tersepit di celah-celah Valentino Rossi dan Danilo Petrucci di barisan ketiga.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, akan memulakan saingan Moto2 di petak ke-25 selepas bergelut dengan pemilihan tayar yang membuatkannya terbabas.