Takaaki Nakagami akan terus mewakili LCR Honda dalam saingan MotoGP musim 2021 selepas menandatangani kontrak baru.

Honda mengumumkan bahawa pelumba Jepun itu -- yang sedang berlumba dalam musim ketiganya dalam kategori perdana -- telah bersetuju untuk menandatangani kontrak jangka panjang.

Nakagami menamatkan setiap perlumbaan musim ini dalam kelompok 10 teratas, termasuk memulakan perlumbaan di barisan depan buat kali pertama dalam Gran Prix Styrian pada Ogos lalu.

Pelumba berusia 28 tahun itu akan berpasangan dengan Alex Marquez tahun depan, manakala juara bertahan, Marc Marquez, akan bergandingan dengan Pol Espargaro di Repsol Honda.

"Saya amat gembira kerana dapat terus berlumba untuk LCR Honda pada 2021 dan tahun-tahun akan datang," kata Nakagami dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Honda.

"Saya berterima kasih kepada Honda kerana sokongan mereka, membenarkan saya untuk mengeluarkan potensi sebenar musim ini.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang lebih kukuh dalam baki perlumbaan dan akan membina momentum bagi tahun depan.

"Saya meletakkan sasaran yang tinggi bersama Honda. Saya akan membalas kepercayaan anda," katanya.