Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mahu memadam kekecewaan gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail minggu lalu.

Hafizh Syahrin yang beraksi bersama RW Racing GP dalam saingan musim ini berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, bahawa jenteranya menghadapi masalah teknikal yang menyebabkan dia terkeluar dalam pusingan ke-11.

"Saya beraksi kurang baik dalam perlumbaan minggu lalu.

"Saya menghadapi masalah ketika membuat selekoh ke sebelah kiri.

"Ia menyukarkan saya untuk masuk dan keluar selekoh dengan pantas lalu tidak dapat mengekalkan kedudukan dengan pelumba di hadapan.

"Saya terus cuba menyesuaikan diri dengan jentera di pertengahan perlumbaan sebelum ia berhenti dengan sendiri akibat kehilangan kuasa," katanya.

Round 2 ???

Posted by Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao on Tuesday, March 30, 2021


Pescao menjelaskan dia bergelut seawal pusingan pertama dan terpaksa menamatkan perlumbaan dengan lebih awal meskipun sudah mengerah jentera ke tahap maksimum.

Bagaimanapun, pasukannya tidak akan berputus asa dan sedang memperbaiki kelemahan yang ada menjelang perlumbaan hujung minggu ini.

Lantas, pelumba berusia 27 tahun itu percaya jenteranya mampu menampilkan prestasi yang lebih baik dalam GP Doha yang berlangsung di litar sama.

"Saya cuba faham jentera ini dengan secepat mungkin walaupun tidak banyak maklumat yang saya dapat.

"Sungguhpun agak sukar, saya tetap bersemangat untuk mendapat rentak bersama jentera."