Grand Prix (GP) Australia yang menjadi perlumbaan pembukaan Formula Satu (F1) musim ini akan diteruskan seperti yang dirancangkan walaupun timbul kegusaran terhadap penularan wabak koronavirus, demikian Kerajaan Victoria mengesahkannya.

Ferrari dan Alpha Tauri yang berpangkalan di Itali utara menjadi tumpuan selepas peningkatan terhadap kes berkenaan pada minggu ini yang kepada 400 orang.

Wabak global itu -- yang berasal dari China hingga menyebabkan penangguhan perlumbaan di Shanghai April depan -- telah menimbulkan spekulasi mengenai kesesuaian terhadap penganjuran perlumbaan pembukaan di Melbourne, 15 Mac depan.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Sukan dan Acara Utama Victoria, Martin Pakula, berkata perlumbaan itu akan tetap dijalankan seperti yang dirancangkan.

"Melbourne merupakan satu-satunya bandar di dunia yang menjadi tuan rumah kepada acara F1 dan kejohanan tenis yang besar.

"Kami harap dapat meraikan ulang tahun ke-25 perlumbaan GP di Albert Park pada 15 Mac depan," katanya.

F1 akan menuju ke Bahrain pada hujung minggu berikutnya sebelum penganjuran sulung di Vietnam.

Ketua Eksekutif F1, Chase Carey, berkata penangguhan perlumbaan tidak akan berlaku biarpun kes koronavirus wujud di negara-negara berkenaan.

"GP Vietnam akan berlangsung di Hanoi pada 5 April dan kami juga merancang untuk meneruskan penganjuran," katanya dalam satu temu bual minggu ini.

"Saya telah bercakap dengan rakan-rakan kami di Vietnam dan saya merancang untuk singgah di Hanoi pada 16 Mac depan, iaitu ketika dalam perjalanan pulang ke London dari Australia.

"Selain daripada China, ketika tumpuan khusus diberikan kepada pada awal tahun ini, semua venue sudah bersedia untuk menganjurkannya.

"Kami akan menuju ke Melbourne, Bahrain, Hanoi. Apapun, kita harus melihat perkembangan pada masa akan datang."