Fabio Quartararo mendedahkan bagaimana perubahan corak pemikiran membantunya memberikan saingan hebat dalam musim baru ini untuk melakar dua kejayaan daripada tiga perlumbaan dalam kalendar MotoGP 2021.

Selepas menawan Qatar, penunggang kelahiran Perancis itu berada di puncak Grand Prix (GP) Portugal, Portimao, yang sarat dengan aksi mendebarkan meskipun dia membuat permulaan goyah di petak depan.

Quartararo -- yang meraikan kemenangannya dengan gaya Cristiano Ronaldo selepas menjaringkan gol -- turut dibantu dengan insiden Alex Rins terbabas sekali gus memberinya ruang lebih selesa bagi menerajui perlumbaan.

"Permulaan saya baik, tetapi sayangnya yang lain pula lebih baik. Saya sangat gembira kerana secara jujurnya, saya tidak menyangka akan sepantas ini. Ia sangat deras," kata Quartararo.

"Saya sedar kami mempunyai sedikit ketinggalan daripada Alex. Dia amat pantas sebelum kesilapannya, tetapi saya sendiri tidak menyangka mampu memecut sebegini.



"Sangat seronok untuk menikmati trek ini. Ia adalah trek yang unik."

Pelumba Monster Yamaha itu kni memimpin kedudukan pelumba selepas memasuki kempen dengan sikap yang lebih positif.

Francesco Bagnaia pula mengakhir kempen di Portugal di tempat kedua sementara Joan Mir melengkapkan podium.

"Yamaha membuat langkah besar dibandingkan tahun lalu tetapi daripada segi mental, saya berasa lebih kuat," jelasnya lagi kepada media.

"Saya banyak belajar -- tahun lalu, ketika motor tidak begitu hebat, saya selalu berfikiran negatif. Saya benar-benar berubah dengan sentiasa berasa positif.

"Saya tiba di sini dengan mengetahui jentera ini akan berfungsi, cuma ada yang tidak berjalan lancar tapi saya tidak terlalu memikirkannya. Untuk mengatur langkah seperti yang kami lakukan ini bukan mudah, tetapi saya fokus."

Juara MotoGP enam kali, Marc Marquez, yang muncul dalam perlumbaan pertama sejak mengalami kemalangan tahun lalu menamatkan aksi di tempat ketujuh.

Dalam Moto2, pelumba negara yang mewakili NTS RW Racing GP, Hafizh Syahrin, menduduki tempat ke-18 dalam perlumbaan yang dimenangi pelumba Red Bull KTM Ajo, Raul Fernandez.

? Result Race Hafizh Syahrin P18 RW Racing GP #PortugueseGP #teamHS #HS55 #RWRacingGP #NTS #RWRacing #Moto2 #UMWGranttlube #RCB #RacingBoy #RezekiDariAllah

Posted by Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao on Sunday, April 18, 2021