F1: Lewis Hamilton bangkit daripada kesilapan awal GP Emilia Romagna

Oleh Shaiful Shamsudin 19 April 2021 483
F1: Lewis Hamilton bangkit daripada kesilapan awal GP Emilia Romagna
Lewis Hamilton meminta maaf atas kesalahannya dalam Grand Prix (GP) Emilia Romagna tetapi masih mampu menarik nafas lega untuk muncul naib juara, malam tadi. 

Juara bertahan Formula Satu (F1) itu bermula di petak depan dan kelihatan hampir melepaskan peluangnya untuk menaiki podium apabila terbabas ke batu kerikil ketika cuba mengejar Max Verstappen di pertengahan perlumbaan.

Tetapi ketika Mercedes yang dipacunya menuju ke hentian pit berbaki satu pusingan lagi, satu kejadian yang melibatkan rakan sepasukan, Valtteri Bottas, dan pelumba simpanan kepada Hamilton, George Russell, menyebabkan bendera merah dikibarkan. 

Kedua-dua pemandu Silver Arrows itu, bagaimanapun, dapat meneruskan perlumbaan dan tidak tercedera, malah pemberhentian masa itu memberi ruang buat Hamilton kembali dalam saingan sengit. 

Pelumba Britain itu kemudian mempamerkan pemanduan menakjubkan dari tangga ke kesembilan sebelum mengekori belakang pendahulu, Verstappen. 

"Ia satu usaha yang hebat, kawan-kawan," katanya kepada radio pasukannya. 

"Minta maaf atas kesilapan sebelum itu."

Selepas mengucapkan tahniah kepada Verstappen dan Lando Norris yang berada di tempat ketiga, Hamilton berkata: "Di pihak saya, ini bukanlah satu hari yang paling hebat.

"Ini adalah kali pertama saya membuat kesilapan dalam jangka masa yang lama tetapi saya bersyukur saya dapat 'membawa pulang' kereta itu."

Dia menambah: "Saya benar-benar bersyukur kerana kami dapat bangkit dan meraih beberapa mata buat pasukan. Itu sangat penting."


 


Selepas melakar pusingan terpantas di penghujung perlumbaan, Hamilton kekal mendahului senarai kejuaraan pemandu iaitu satu mata di depan Verstappen.

Dia mendedahkan senario seperti itu tidak akan bermain di fikirannya apabila sudah bersedia dengan perlumbaan seterusnya. 

"Saya tidak memikirkannya," katanya. 

"Saya baru saja berusaha mengatasi perasaan sakit hati kerana membuat kesilapan dan melupakannya, belajar sesuatu daripadanya dengan cepat.

"Saya tidak mempunyai masa untuk memikirkannya. Jadi itulah yang saya akan lakukan, kembali bersemangat.

"Saya tidak pasti apakah kami mampu menyelinap memandangkan tepi jalan itu licin, tetapi saya masih mempunyai persaingan yang sangat menyeronokkan dengan semua orang."

Verstappen juga tidak khuatir dengan kedudukan itu dengan mengulas: "Musim ini masih panjang. Kami akan kekal tenang."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen