Chase Carey menjelaskan perlumbaan Formula Satu (F1) tidak akan dibatalkan sekiranya ada pemandu atau ahli pasukan didapati positif COVID-19.

Semalam, kejohanan itu sah akan menganjurkan lapan perlumbaan terawal selepas penjadualan semula musim 2020 apabila saingan itu bermula menerusi Grand Prix (GP) Austria 5 Julai depan.

Litar Spielberg dan Silverstone masing-masing akan mengadakan dua pusingan dengan semua perlumbaan akan diadakan di venue tertutup.

Saingan musim ini sepatutnya bermula menerusi GP Australia Mac lalu, namun ia terpaksa dibatalkan selepas seorang pegawai McLaren diuji positif pandemik itu.

Bagaimanapun, ketua eksekutif F1 tersebut menyatakan bahawa kejohanan yang dijadualkan semula itu akan tetap diteruskan walaupun ada kes positif yang baru.




"Seseorang yang dijangkiti tidak akan menyebabkan pembatalan kejohanan ini," katanya kepada laman sesawang rasmi F1.

"Kami menggesa setiap pasukan untuk menerapkan Prosedur Standard Operasi (SOP) jika seseorang itu perlu menjalani kuarantin. Kami memiliki kemampuan untuk mengasingkan mereka di hotel dan menggantikan orang berkenaan.

"Beberapa perkara harus kami bincang dan selesaikan. Terhadap pelbagai kemungkinan yang berlegar-legar hingga menyebabkan pasukan tidak dapat berlumba dan yang boleh mendorong pembatalan perlumbaan.

"Saya tidak boleh menyatakan akibatnya. Tetapi kami akan mempunyai prosedur sekiranya berlaku jangkitan tetapi ia tidak akan menyebabkan pembatalan perlumbaan. Sekiranya pemandu didapati positif, setiap pasukan mempunyai pemandu simpanan.

"Kami tidak akan meneruskan saingan ini jika kami tidak yakin bahawa kami mempunyai prosedur, kepakaran serta kemampuan yang diperlukan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat selain mampu menguruskan apa sahaja masalah yang timbul."