Selepas mencuba selama empat tahun, pelumba motorsikal negara, Adam Norrodin, yang akhirnya menikmati kejayaan menaiki podium pertamanya.

Pelumba LIQUI MOLY Intact SIC itu merangkul tempat ketiga perlumbaan pertama Kejuaraan Motosikal Eropah CEV) di Litar Estoril, Portugal, semalam.

Adam, beraksi dalam kelas Moto2, bermula di petak keempat dengan mengekori rapat kelompok hadapan sejak awal perlumbaan.

Namun, kemalangan yang menimpa rakan sepasukan, Lukas Rulovic, membuka ruang buat anak jati Hohor itu memacu jenteranya merebut tempat ketiga sehingga garisan penamat.

Ia kejayaan yang cukup didambakannya memandangkan tahun lalu, prestasinya mendatar apabila kerap menamatkan saingan di kedudukan pertengahan.


Really happy to start the season finishing on the podium. See you in Valencia! ?? Race 1 ?️3️⃣ Race 2 ?️4️⃣

Posted by Adam Norrodin on Sunday, April 25, 2021


"Saya berterima kasih kepada barisan petugas yang bekerja keras dan semua pihak di belakang tadbir.

"Walaupun kurang bagus dalam perlumbaan kedua, Alhamdulillah saya masih mampu menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

"Banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki sempena perlumbaan di Valencia selepas ini," katanya kepada wakil Astro Arena, Adam Zamri, sebagai persiapan berjuang di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol, 9 Mei depan.

Perlumbaan kedua yang berlangsung pada hari yang sama pula menyaksikan Adam menamatkan saingan di tangga keempat, sekali gus secara keseluruhan meletakkannya di tangga ketiga dengan mengumpul 29 mata.

Bagi pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, dia langsung tidak menyangka anak didiknya itu mampu mencapai kedudukan podium memandangkan bergelut dengan beberapa masalah teknikal sebelum perlumbaan.