Kekangan peruntukan memaksa pasukan kendalian legenda permotoran negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, hanya menumpukan satu kategori sahaja dalam saingan Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) musim ini, iaitu dalam kelas Pengeluar Asia (AP) 250.

Shahrol Yuzy yang bertindak selaku pemilik dan pengurus pasukan Yuzy Honda Racing mengambil keputusan yang berisiko dengan memutuskan untuk bertanding dalam satu kategori sahaja apabila anaknya, Shahrol Shazras, menjadi pelumba tunggal untuk pasukan itu di peringkat Asia.

Berbanding musim lalu, pasukan itu mengambil bahagian dalam tiga daripada empat kategori utama ARRC, iaitu Supersport 600, Pengeluar Asia 250 serta underbone 150.



Begitupun, peruntukan terhad memaksanya membuat keputusan itu dengan keutamaan pasukannya musim ini adalah dalam saingan tempatan, Cub Prix.

"Kami sudah pun merancangnya sejak tahun lepas lagi.

"Kami mahu fokus kepada saingan Cub Prix supaya jentera kami tiada masalah dalam perlumbaan.

"Pembabitan dalam ARRC membuatkan kerja kami tidak sempurna," katanya kepada wakil Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Dengan menumpukan satu kategori sahaja di peringkat Asia musim ini, Shahrol Yuzy turut mengharapkan peningkatan prestasi pasukannya.

Tahun lalu, Shahrol Shazhras menamatkan saingan itu di kedudukan ke-22 apabila hanya mengutip dua mata untuk meletakkan pasukannya itu berada di tangga ke-11.

"Kami menyasarkan kelompok 10 dan berdasarkan perlumbaan terakhir di Thailand tahun lalu, pelumba kami muncul dalam kalangan lima terbaik.

"Dengan kemampuan motosikal dan pembangunan yang dibuat sejak tahun lalu, kali ini mungkin akan ada 20 peratus peningkatan.

"Kami hanya memerlukan beberapa peratus lagi untuk berada di depan dan menaiki podium."