Pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar, berhasrat memecah kebuntuan pasukan Boon Siew Honda Racing selepas empat tahun kempunan menjuarai Kejohanan Motosikal Asia (ARRC).

Azroy mendominasi perlumbaan supersports 600cc selepas mencatat 21 minit 53 perpuluhan 229 saat meninggalkan dua lagi pelumba negara yang melengkapkan kedudukan podium.

Menurut Azroy, usaha memulakan latihan seawal Disember lalu membuahkan hasil lebih-lebih lagi selepas pencabar terdekat, Adam Norrodin, terkandas berbaki empat lagi pusingan.

"Saya cuba mempamerkan persembahan yang konsisten sepanjang saingan dan berjaya meraih kemenangan dalam perlumbaan kali ini," kata Azroy.

Sementara itu, pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG, Azlan Shah Kamaruzaman, sekadar menamatkan saingan kelas elit superbike 1000cc pusingan pertama di tempat keenam dengan catatan 43:00.264s.

Azlan mengakui kesukaran membiasakan diri dengan jentera baru selain keadaan cuaca memaksanya lebih berhati-hati di atas litar.

"Saya masih belum membiasakan diri dengan jentera untuk perlumbaan ini. Permukaan litar yang basah memaksa saya untuk lebih berhati-hati dan mengutip mata dalam perlumbaan ini," kata Azlan.