Fernando Alonso dijangka akan memenangi satu lagi gelaran juara dunia sebaik dia kembali dalam arena Formula 1 (F1) musim depan, kata Jaime Alguersari.

Juara dunia F1 dua kali itu akan kembali dalam musim 2021 dengan pasukan Renault, dua tahun selepas dia mengundurkan diri daripada sukan itu selepas disingkirkan McLaren.

Pemandu berusia 39 tahun itu akan menggantikan Daniel Ricciardo untuk bergandingan dengan Esteban Ocon bagi tempoh ketiganya bersama pasukan Perancis berkenaan.

Pengarah Urusan Renault, Cyril Abiteboul, berkata pemilihan Alonso ditetapkan hingga 2022, di mana peraturan teknikal baru akan diperkenalkan dalam F1.

Renault telah menunjukkan tanda-tanda peningkatan selepas prestasi hambar pada 2019 dan Alguersuari, yang menghabiskan dua tahun sebagai pemandu pasukan Toro Rosso, percaya rakan senegaranya itu akan berjaya dengan kepulangan semulanya dalam sukan berkenaan.

Dia berkata kepada Stats Perform News: "Seperti biasa, ia bergantung kepada jentera yang dimilikinya.

"Fernando adalah pemandu yang hebat dan dia sentiasa membuktikannya tetapi saya fikir semua orang menjangkakan Alonso akan memenangi satu lagi kejuaraan dunia.

"Apabila anda sudah memenanginya sebanyak dua kali, semua orang menjangkakan anda akan memenangi yang ketiga tetapi segala-galanya akan bergantung kepada jentera yang akan dimilikinya dan kemampuannya untuk menghadapi F1 sekali lagi," katanya.

Team. ✊️ • we know the challenge is huge. • we know that theoretically it is not possible, but we work as if it were to be.

A post shared by Fernando Alonso (@fernandoalo_oficial) on


Alonso menjuarai perlumbaan 24 Jam Le Mans dan Kejohanan Dunia Ketahanan FIA selepas meninggalkan F1 selain turut menempatkan diri di tangga ke-13 perlumbaan Rally Dakar.

Pelumba berbangsa Sepanyol itu akan bertanding untuk merebut kejuaraan ketiganya, iaitu dalam perlumbaan Indy 500 hujung minggu ini, di mana dia akan bermula di posisi ke-26.