Sukan Para ASEAN: Skuad bola sepak cerebral palsy intai emas 

Oleh Penulis Jemputan 26 Disember 2019 77
Sukan Para ASEAN: Skuad bola sepak cerebral palsy intai emas 
Skuad bola sepak cerebral palsy kebangsaan tiada pilihan selain merangkul pingat emas dalam Sukan Para ASEAN Filipina Mac depan bagi meyakinkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan program mereka dengan sasaran untuk layak ke Piala Dunia 2021.

Jurulatih, Asnan Mohd Zuki, mengakui sasaran itu cukup tinggi selepas mengambil kira pencapaian Malaysia dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan hanya merangkul gangsa.

Tambahan pula ranking skuad bola sepak cerebral palsy negara kini di tangga ke-32 dunia -- di belakang Thailand, Indonesia dan Singapura.

Namun, berdasarkan prestasi menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan bersama pasukan bola sepak normal, impian itu tidak mustahil untuk direalisasikan.

"Pemain 2019 ini boleh memberi cabaran kepada pasukan lain kerana mereka berkebolehan untuk berbuat demikian. 

"Menerusi perlawanan persahabatan yang diadakan, mereka nampaknya faham apa yang saya terapkan," katanya. 

Asnan juga sudah menyiapkan pelan sampingan setelah tuan rumah temasya edisi ke-10 itu menunda tarikh penganjuran ke Mac depan.

Barisan anak buahnya akan mengharungi perlawanan simulasi bulan depan bagi memantapkan lagi persiapan untuk merangkul emas di Filipina.

"Kami akan cuba anjur kejohanan simulasi dengan menjemput pasukan yang diwakili pemain normal di sekitar Kuala Lumpur," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen